Ibadah ini sangat dinantikan oleh jiwa. Ibadah ini juga sangat dialukan pula oleh roh. Ibadah ini telah diserukan kepada manusia untuk mengerjakannya lebih dari 1400 tahun yang lalu. Seruan ini telah sampai ke segenap pelosok negeri dan negara. Soalannya, telahkan seruan yang mengetuk hati ini sampai ke telinga anda?
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh” (Al-Hajj 27)
Ya, itulah ibadah Haji yang amat dirindui hati. Ibadah ini bukanlah ibadah bagi orang tua yang telah pencen dari pekerjaan mereka. Bukan pula ibadah mereka yang telah banyak melakukan dosa lantas berazam untuk bertaubat di hadapan rumahNya. Tidak, bukan begitu konsep ibadah yang agung ini! Malah, kemuncak ibadah ini sebenarnya akan memberikan pelajaran yang tidak ternilai kepada mereka yang menunaikannya dengan izin Allah.
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu… (Al-Hajj 28)
Ya, inilah ibadah Haji yang merupakan kemuncak rukun Islam. Saban tahun, anda memerhatikan manusia di kalangan sanak saudara terdekat dan mungkin rakan pergi menyahut seruan ini. Tidakkan anda juga mahu bersama-sama menyahut seruan ini?
Saudaraku yang masih muda, tidakkah anda mahu berniat dan berdoa kepada Allah dengan hati yang tulus untuk membalas seruanNya?
Wahai orang muda, tidakkah anda rindu untuk ke rumah Allah dan menghadapNya dengan hati dan diri yang hina?
Wahai pemuda dan pemudi, tidakkah anda ingin mengunjungi bumi Rasulullah, malah menziarahi makamnya di sana?
Berazam dan berusahalah untuk menunaikan Haji di Baitullah Al-Haram, jika dapat pada usia yang masih muda, agar anda dapat melakukan yang terbaik di sisiNya. Nikmat kepemudaan dan kesihatan usah dipersiakan. Carilah kelapangan waktu untuk memperoleh bekalan dari ibadah Haji ini yang diwajibkan sekali dalam seumur hidup. Wahai mereka yang mendengar seruan ini, sambutlah seruan ini!
